Lumrah bola yang bulat sifatnya membuatkan ia tidak stabil. Tiupan angin sepoi-sepoi bahasa pun sudah membolehkan bola tersebut bergerak. Sebab itu ketika diminta untuk memilih bentuk yang menggambarkan diri sendiri, aku tidak memilih bentuk bulat. Ini kerana pada tanggapan ku, bulat itu menggambarkan ketidaktetapan pendirian.
Walaubagaimanapun, bulat itu banyak istimewanya. Hampir semua alat permainan menggunakan elemen bulat . Bola sepak, bola jaring, bola baling, squash, tenis, bola lisut dan berbagai lagi. Inilah yang menjadikan bentuk bulat ini unik sebab semua yang bermain berpeluang untuk menang sebab bentuk bulat itu cukup sensitif. Kesilapan taktikal boleh menyebabkan sesebuah kumpulan kalah atau menang.
Begitu juga dengan bentuk bumi yang Allah jadikan bulat bentuknya. Ini bermakna ia cukup 'fragile'. Maka Allah telah utuskan manusia untuk mentadbir bumi yang jika diurus dengan baik akan mendatangkan kemenangan dan sebaliknya jika diurus dengan 'semberono' akan musnahlah ia dek tangan-tangan manusia itu sendiri. Masya Allah..... hebatnya pengajaran dari setiap kejadian insan.
Itulah bahang bolasepak di Johor. Sorakan Hidup Johor sentiasa berkumandang setiap kali JDT melangkah ke padang terutama di Stadium Larkin. Tampak meriah perlawanan disebabkan sorakan semangat dari fan club masing-masing. Berbeza bila lihat permainan bolasepak SLeague semalam. Sunyi dan tempat duduk pun kosong. Terfikir juga, mungkin orang-orang di Singapura tidak suka menonton bola sepak. Anak teruna ku kata, orang Singapura suka tengok indoor games. Mungkin tekaan itu betul. Tak adalah kemeriahan Stadium Jalan Besar sama seperti ketika Fandi Ahmad menjadi hero bolasepak Singapura.
Malam ini permainan bolasepak antara JDT dengan The Red Warrior Kelantan, menarik perhatian ramai peminat bolasepak dalam rumahku. Semua kerja sanggup ditangguhkan hanya kerana menumpukan perhatian kepada golekan sebiji bola di atas padang. Apa boleh ku buat, kalau sudah meminati sesuatu, maka aku harus beri laluan yang sepatutnya selagi tidak menyalahi syarak.
Secara peribadi, apa-apa jenis permainan bola pun tidak menjadi kegilaan ku. Apa yang aku suka dengar hanyalah keputusan kerana menonton permainan yang berdurasi 1 jam setengah itu cukup menyebalkan jika pemainnya tidak bermain dengan cekap.
Simbolik yang dapat ku garap dari mana-mana pertandingan bolasepak ialah semangat kekitaan di kalangan kelab penyokong masing-masing yang sanggup berhabis-habisan untuk kelab tersayang. Walaubagaimanapun , apabila sudah berada dalam kumpulan kadang-kadang adab dan nilai menghormati lawan sudah terbang melayang. Kadangkala insiden yang berlaku di stadium bolasepak Malaysia tidak jauh bezanya dengan yang berlaku di Brazil.
Cuba teka..... kumpulan manakah yang paling ramai menjadi penonton? Alangkah eloknya jika kumpulan ini jugalah yang meramaikan stadium jika sambutan Selawat Perdana atau yang seumpamanya diadakan. Rasanya 'orang luar' yang mendengar laungan selawat pun gementar mendengarnya.