Sudah menjadi kebiasaan ramai orang untuk menyematkan azam baru di tahun baru. Atau mungkin azam lama yang diberi nafas baru. Namun saya yakin bahawa setiap azam yang disemat dalam sanubari masing-masing mempunyai satu persamaan :KITA MAHU JADI LEBIH BAIK/PANDAI/KAYA DLL... DARI TAHUN LEPAS.
Bagi sesetengah insan, azam itu tidak semestimya hanya dibuat pada setiap tahun baru, bahkan setiap hari. Teringat pesan Dr Muhaya Muhammad yang sentiasa mengingatkan pendengar Radio IKIM agar sentiasa menanam azam 'APAKAH YANG BOLEH SAYA BERI' pada hari ini. Azam untuk sentiasa memberi itu akan menjadikan kita insan yang BAHAGIA, InsyaAllah.
BAHAGIAnya kita adalah kerana rahmat Allah, dan rahmat ALlah itu datang kerana kita juga selesa mengamalkan sifat tuhan iaitu PEMURAH. Saya selalu berkongsi dengan rakan2 dan anak2, fokus kepada apa yang kita boleh kawal, insyaAllah kita akan menjadi insan yang bahagia dan sentiasa positif.
Memberi itu adalah dibawah kawalan kita. Menerima ? Tidak kerana kita perlukan orang lain untuk memberi, barulah kita mampu menerima. Boleh kita kawal orang lain untuk memberi sesuatu kepada kita? Sudah tentu tidak.
Oleh itu pesan saya kepada diri... jangan sibukkan diri dengan memikirkan apa yang kita boleh terima dari orang lain, tetapi sibukkanlah diri dengan memikirkan apa yang kita boleh beri kepada orang lain kerana orang yang sibuk memikirkan perkara baik tidak punya masa untuk memikirkan perkara yang tidak baik.
Kita bukanlah orang yang baik tetapi kita sentiasa berusaha untuk jadi baik, insya Allah.
No comments:
Post a Comment